Arsenal tidak memiliki keghairahan dan telah kehilangan semua kekuatan, kata pemain tengah Brighton dan Hove Albion, Steve Sidwell.

The Gunners menempa kekalahan 2-1 kepada skuad kendalian Chris Hughton itu dalam aksi Liga Perdana, Ahad lalu -- membawa kepada kekalahan keempat berturut-turut sejak 2002.

Tekanan sekali lagi meningkat terhadap pengurus, Arsene Wenger, manakala saingan Liga Europa menentang AC Milan dalam pusingan 16 minggu ini menjadi detik getir mereka musim ini, apatah lagi mereka kini 13 mata di belakang kelompok empat teratas liga.

Sidwell, yang digilap melalui akademi Arsenal sebelum menyertai Reading pada 2003, berkata kelab lamanya itu jelas hilang keyakinan.

"Seperti yang orang katakan kebelakangan ini: tiada karakter, tiada semangat juang, tiada keinginan, tiada semangat untuk menyarung seragam dan itu jelas," ujar pemain berusia 35 tahun itu, yang terlepas aksi di Stadium Amex akibat kecederaan kepada talkSPORT.

"Sebelum perlawanan, saya melihat mereka di dalam terowong dan bahasa badan mereka bukanlah seperti sebuah pasukan yang bersedia untuk bekerja keras dan mahu berjuang.

"Kami tahu dari awal lagi, jika kami mempunyai permulaan yang baik dan mendahului, maka kami akan mempunyai peluang.

"Kembali pada hari ini, kami sedar akan menghadapi perlawanan yang sukar. Kami tahu mereka boleh bermain dengan aksi penuh lancar, namun secara fizikalnya, anda perlu bersedia menghadapi permainan sukar.

"Mereka kelihatan seperti kehilangan kebolehan dan keupayaan teknikal dan itulah kekurangan mereka ketika ini.

"Tahap keyakinan mereka telah terjejas," ujarnya lagi.