Carlo Ancelotti menyeru Eden Hazard supaya mencontohi rakan sepasukan di Real Madrid, Mariano Diaz, dengan bersabar tatkala dia bergelut untuk menembusi pasukan utama.

Hazard bergelut untuk mendapatkan kecergasan terbaik sejak menyertai Madrid daripada Chelsea pada 2019.

Pemain sayap itu sekadar terbabit dalam 30 perlawanan LaLiga sepanjang dua musim pertamanya di ibu negara Sepanyol berkenaan berikutan acap dibelenggu masalah buku lali dan kecederaan otot berulang.

Bagaimanapun, Hazard kembali cergas musim ini untuk terbabit dalam 11 aksi liga tetapi masih belum mampu menjelmakan prestasi terbaiknya sepanjang diturunkan empat kali dalam kesebelasan utama daripada sembilan penampilan.

Pemain antarabangsa Belgium itu masih belum menemui sentuhan gol pada musim ini selain tampil sekali dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi digantikan selepas 66 minit dalam kekalahan kepada Sheriff.

Justeru, pengurus Galacticos itu yang menghadiri sidang media sempena pertembungan dengan Shakhtar Donetsk di tempat sendiri, awal pagi esok, tidak akan membenarkan Hazard merajuk.

Sebaliknya, dia merujuk kepada Mariano yang membuat penampilan pertama musim ini dalam kemenangan 2-1 di Elche, hujung minggu lalu, dengan mencipta gol pembukaan untuk Vinicius Junior -- satu daripada dua peluang yang dicipta dalam empat percubaan -- sementara Hazard pula menggantikan Vinicius ketika permainan berbaki enam minit.

“Pemain yang tidak dipertaruhkan perlu mempunyai kepercayaan,” kata Ancelotti dalam sidang akhbar itu.

"Tiada siapa yang menyangka Mariano akan diketengahkan tetapi ia berlaku dan dia menikmatinya apabila beraksi dengan sangat baik, dia menunjukkan sikap profesionalnya. Itulah yang Hazard serta pemain lain yang jarang beraksi perlu lakukan."





Sementara itu, Ancelotti tidak mahu menyekat Gareth Bale daripada melaporkan diri bersama Wales sekalipun penyerang tersebut juga kerap dihantui masalah kecederaan.

"Dia seorang komited. Dia mengalami kecederaan serius dan memerlukan masa untuk pulih. Dia sempat berlatih sebelum bertemu Rayo Vallecano minggu lalu.

"Tetapi pasukan kebangsaan memerlukannya. Mereka akan menilai sama ada dia boleh beraksi atau tidak," katanya sambil menganggap seorang lagi penyerang, Luka Jovic, masih gembira di ibu kota Sepanyol itu sungguhpun jarang diturunkan.