Presiden Torino, Urbano Cairo, menafikan AC Milan dan Paris Saint-Germain (PSG) telah menghubungi kelab itu berhubung pemain penyerang, Andrea Belotti.

Belotti telah dikaitkan dengan Milan, PSG dan Manchester United selepas meledak 26 gol dalam Serie A bagi musim 2016-17.

Bagaimanapun, Torino tidak berniat menjual pemain berusia 23 tahun itu yang memiliki klausa penebusan kontrak bernilai €100 juta (RM477 juta).

"Dia masih terikat dengan kontrak sehingga 2021," Cairo memberitahu Tuttomercatoweb.

"Untuk itu, penting bagi kami memastikan dia kekal gembira bersama kami.

"Kami tidak dihubungi Milan mahupun PSG. Ini sekadar khabar angin yang dimainkan media."

Cairo turut menafikan penjaga gol Manchester City, Joe Hart, akan kembali bersama kelab itu musim depan.

Bagaimanapun, Cairo mengakui pihaknya masih dalam perbincangan awal bagi mendapatkan penjaga gol PSG, Salvatore Sirigu.

"Hart mendapat pengalaman berharga bersama kami, saya tidak rasa kami akan melihat kelibatnya di Granata sekali lagi," tambahnya.

"Bagi Sirigu, kita perlu tunggu dan lihat."