Niko Kovac masih terkejut dengan kemenangan 7-2 Bayern Munich ke atas Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi, sambil berkata dia tidak pernah mengimpikan keputusan seperti itu.

Bayern membelasah lawan itu di Stadium Tottenham Hotspur walaupun Son Heung-min terlebih dahulu membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-12.

Bekas penyerang skuad remaja Arsenal, Serge Gnabry, menginspirasikan kejayaan itu dengan menjaringkan empat gol menerusi aksi individu yang luar biasa sambil Robert Lewandowski menghasilkan jaringan berganda dan Joshua Kimmich turut menemui sasaran.

Keputusan itu meletakkan Bayern berkelebihan tiga mata di puncak Kumpulan B selepas memenangi kedua-dua perlawanan pertama dan Kovac tidak dapat menjelaskan apa yang disaksikannya dalam perlawanan itu.

"Tiada siapa akan mengimpikan untuk meraih keputusan seperti ini," katanya kepada DAZN.

"Kami tahu apa yang perlu dijangkakan di London dan kami melaluinya sepanjang 25 minit pertama.

"Tottenham memberikan kami banyak tekanan, mujurlah Manuel Neuer membenarkan kami untuk terus bersaing.

"Selepas itu, pasukan saya telah beraksi dengan amat baik.

"Sudah pasti gol kedua itu amat penting buat kami.

"Dalam separuh masa, kami memperkemaskan kembali beberapa perkara dan kami beraksi sepertimana yang saya harapkan.

"Secara keseluruhannya, kami menyempurnakan setiap peluang yang kami cipta," katanya.

Walaupun lebih gemar memuji pasukan secara kolektif, Kovac tidak dapat mengelak daripada menghamburkan pujian buat Gnabry.

"Pertama sekali, saya mahu menegaskan bahawa ia merupakan momen terhebat buat seluruh pasukan, namun sudah pasti, terutama buat Gnabry.

"Dia amat hebat. Dia menunjukkan apa yang kami harapkan daripadanya.

"Bukan hanya ketika menyeran, kerana saya tahu dia mampu melakukannya tetapi ketika bertahan juga," tambahnya.