Kekecewaan jelas terpancar pada wajah Nelo Vingada kerana gagal dalam ujian sulungnya selaku jurulatih Harimau Malaya susulan kekalahan 1-2 menentang Lubnan dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin, malam tadi.

"Sudah tentu saya tidak gembira dengan keputusan ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan. "Tiada siapa boleh gembira kerana kami dibolosi pada beberapa saat terakhir. Tetapi saya gembira dengan cara pemain berjuang."

Bermain di hadapan 6,000 penyokong, tumpuan terarah kepada jurulatih berbangsa Portugis itu yang dituntut menjelmakan keputusan positif walaupun baru dua minggu bersama skuad negara.

Harimau Malaya berjaya mengimbangi kekuatan lawan pada awal permainan, namun nyaris dibolosi pada minit ke-38, mujur percubaan kapten, Hassan Maatouk, diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Empat minit kemudian, giliran skuad negara menguji gawang Lubnan menerusi percubaan Syazwan Zainon yang malangnya tersasar.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-43 yang berpunca daripada hantaran leret Syazwan dan kesilapan mudah penjaga gol, Mehdi Khalil, untuk dimanfaatkan Mahali Jasuli.

Skuad negara menerima asakan hebat Lubnan selepas rehat apabila hampir dibolosi pada minit ke-47 tetapi percubaan Nader Matar berjaya diselamatkan Azhan.

Penjaga gol Selangor itu sekali lagi bertindak cemerlang pada minit ke-72, kali ini menafikan percubaan pemain gantian pasukan pelawat, Rabih Ataya.

Usaha keras Lubnan untuk meraih gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-80 susulan sepakan lencong cantik Rabih yang gagal diselamatkan Azhan.

Ketika kedua-dua pasukan hampir pasti berkongsi satu mata, Rabih muncul wira Lubnan apabila menyumbat gol kemenangan pada waktu kecederaan untuk keputusan 2-1.

Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic, berkata: "Saya mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana ini kemenangan mereka, terutama Ataya.

"Pemain saya beraksi sangat baik, ia adalah keputasan yang layak kami terima."