Pertahanan Kedah, Fitri Omar, mengakui tidak menyimpan sebarang dendam terhadap bekas majikan, Pulau Pinang menjelang pertemuan kedua pasukan dalam aksi Liga Super, esok.

Fitri antara watak penting Pulau Pinang tahun lalu sebelum berhijrah ke Kedah musim ini.

Tegasnya, dia sudah melupakan segala kesukaran dilalui di Pulau Mutiara itu dan sebaliknya menghormati bekas majikannya itu.

"Saya tidak berasa sebarang dendam. Tiada sebab untuk saya berdendam.

"Pasukan juga sedang berada di tahap yang baik jadi saya membuat keputusan tepat untuk berada di sini," katanya.

Setelah tidak diturunkan dalam dua perlawanan awal, Fitri kini menjadi antara tonggak utama pengendali, Tan Cheng Hoe.

"Alhamdulilah saya mendapat peluang ini, sebelum ini saya tidak pernah lagi bermain dalam sistem ini.

"Tetapi selepas tiga bulan saya sudah mula mencapai keserasian," tambahnya.