Thomas Tuchel menegaskan tiada sebab untuk Chelsea berasa panic selepas kedudukan mereka ditangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) kini dipintas Manchester City.

Pasukan juara Eropah itu kelihatan akan menakluki EPL berdasarkan aksi kukuh sejak awal musim ini, di mana mereka memenangi lapan daripada 10 perlawanan pertama dan hanya dibolosi satu gol daripada permainan terbuka.

Bagaimanapun, mereka kemudian hanya merekodkan tiga kemenangan daripada enam perlawanan terakhir selain turut dibolosi lapan gol dan hanya merakamkan satu perlawanan tanpa bolos untuk kini tergelincir dari tangga pertama ke tangga ketiga EPL.

Liverpool memintas di kedudukan kedua manakala City, yang membelasah Leeds United 7-0 pada Selasa lalu, kini berkelebihan lima mata di depan The Blues walaupun sudah beraksi lebih satu perlawanan.

Barisan pertahanan Chelsea juga kelihatan rapuh sejak kebelakangan ini, di mana anak buah Tuchel itu dibolosi lapan gol daripada tiga perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan.

Tuchel, bagaimanapun, berkata ini bukannya masa untuk mereka mengaku kalah, sebaliknya mahu meneruskan rentak kemenangan 3-2 ke atas Leeds pada Sabtu lalu -- hasil jaringan penalti saat akhir Jorginho -- ketika berdepan Everton awal pagi esok.

"Tidak lama dahulu, kedudukannya terbalik dan Man City berhasil mengubahnya.

"Buat masa ini, mereka berada dalam prestasi terbaik dan telah membuktikannya.

"Mereka telah menunjukkan kualiti mereka. Tiada sebarag keraguan mengenai kualiti itu kerana mereka telah menunjukkan ketekalan yang sama seperti Liverpool sepanjang beberapa tahun ini.

"Kami sedar sekiranya kami mahu bersaing dengan City dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan, kami akan berdepan kepayahan dan waktu sukar.

"Jadi, kami tidak boleh panik ketika ini dan kami tidak boleh mengaku kalah.

"Kami sudah menyedarinya sebelum ini dan menikmati kepayahan yang sedang kami lalui ketika ini.

"Mungkin itulah yang kami perlukan untuk menghadapi waktu sukar ketika ini.

"Kami amat bertuah pada hujung minggu lalu tetapi tidak cukup bertuah ketika bertemu West Ham. Kami tidak bertuah bertemu Burnley.

"Jadi, kami tidak boleh berasa kecewa dengan kemenangan saat akhir itu. Kami telah menemui cara untuk memenangi perlawanan," katanya.