Penjaring terbanyak musim 2016, Ilija Spasojevic, tidak meletakkan sasaran peribadi buat musim 2017, sebaliknya memberikan tumpuan bagi memastikan pasukannya, Melaka United, akan mempamerkan aksi cemerlang dalam Liga Super.

Salah satu kelebihan penyerang berusia 29 tahun itu yang mudah mencari keserasian beraksi di Malaysia adalah keupayaannya bertutur dalam bahasa Melayu hasil lima musim di Indonesia bersama Bali Devata FC, PSM Makassar, Mitra Kukar, Putra Samarinda dan Persib Bandung.

"Sejak 2011, ketika saya bermain di Indonesia selama lima tahun sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2016, bahasa di Indonesia dan Malaysia tidak terlalu berbeza dan saya semakin fasih," kata Spasojevic.

Bekas pemain bawah 21 tahun Montenegro itu memiliki pengalaman terbaik sepanjang kariernya di pentas antarabangsa, antaranya beraksi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Panathinaikos di Athens, Greece.

"Saya memiliki beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan seperti pada tahun 2008, ketika beraksi untuk Dinamo Tbilisi, saya membuat penampilan sulung beraksi untuk UCL dalam perlawanan kelayakan bertemu Panathinaikos. Ia merupakan pengalaman yang menakjubkan.

"Pada 2015, saya telah berjaya membantu Persib Bandung memenangi Piala Presiden dan ia merupakan satu kejayaan yang terbaik selama lima tahun di Indonesia."

"Tidak terlupa, memenangi kasut emas di Anugerah Bola Sepak Malaysia 2016 adalah merupakan pencapaian terbaik saya bersama Melaka United setakat ini."
Spasojevic, yang telah meledak 27 gol dalam 23 penampilan musim lalu, berkata kejayaannya memenangi anugerah tersebut merupakan hasil usaha rakan sepasukannya dan tidak meletakkan sasaran peribadi bagi musim 2017.

"Walaupun saya penjaring terbanyak dalam Liga Malaysia musim lalu, semua itu merupakan hasil kerja keras rakan sepasukan saya.

"Saya tidak memiliki sebarang sasaran peribadi, apa yang penting adalah membantu pasukan meraih kemenangan, jaringan gol buat diri saya akan menyusul."