Roy Hodgson menepis spekulasi yang mengaitkan Wilfried Zaha dengan Borussia Dortmund sambil menegaskan Crystal Palace tidak menerima sebarang pendekatan untuk khidmat pemain sayap itu.

Pendahulu Bundesliga tersebut dilaporkan mengenal pasti Zaha sebagai pengganti ideal kepada Christian Pulisic di Signal Iduna Park berikutan pemain antarabangsa Amerika Syarikat (AS) berkenaan akan menyertai Chelsea pada akhir musim ini.

Bagaimanapun, Hodgson berkata tidak wujud sebarang rundingan di antara kedua-dua kelab itu dan yakin Zaha -- yang menandatangani perjanjian kontrak selama lima tahun pada Ogos 2018 -- akan kekal di Selhurst Park.

"Kami tidak tahu mengenainya," katanya dalam sidang media ketika ditanya tentang khabar angin itu.

"Sama sekali tiada sebarang perbincangan di antara Borussia Dortmund dan Crystal Palace.

"Jika saya perlu ulas sekiranya setiap kali sesebuah kelab dikaitkan dengan Wilf Zaha, maka ia akan membabitkan tempoh yang lama.

"Wilf baru sahaja menandatangani kontrak jangka panjang dengan Crystal Palace. Dia adalah tonggak utama kami.

"Saya sangat terkejut jika ada kelab di luar sana yang tidak menganggapnya sebagai pemain yang cukup bagus, namun itu tidak bermaksud bahawa mereka akan cuba memancingnya."