Javier Mascherano menegaskan bahawa tiada pertelingkahan di antara pemain dan bos Argentina, Jorge Sampaoli, menjelang perlawanan menentang Nigeria dalam aksi Kumpulan D, Piala Dunia di Stadium Saint Petersburg, Rabu ini.

Skuad Amerika Selatan itu berada di ambang penyingkiran daripada Russia 2018 selepas seri 1-1 dengan Iceland dan tewas 3-0 kepada Croatia.

Kemenangan ke atas Nigeria dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan mungkin sudah cukup untuk mereka menyelinap masuk ke pusingan 16 sekiranya Iceland gagal mengalahkan Croatia.

Di sebalik khabar angin berhubung pertelingkahan dalam kem Argentina selepas permulaan teruk dalam kejohanan itu, Mascherano menegaskan bahawa hubungan di antara pemain dan jurulatih adalah seperti biasa dan hanya mengadakan perbincangan mengenai bagaimana untuk mengubah nasib mereka.

"Hubungan dengan jurulatih itu benar-benar normal," katanya.

"Sudah tentu, apabila kami berasa tidak selesa dengan sesuatu, kami bercakap dengannya kerana jika tidak, kami hipokrit.

"Dalam pertemuan seperti ini, perkara yang paling dibincangkan adalah tentang bola sepak dan bagaimana mencari jalan untuk menyelesaikan masalah permainan kami.

"Dan bagaimana kami berasa di padang sebagai pemain kerana kami adalah pihak yang mesti membuat pilihan pada bila-bila masa, di mana-mana peringkat, di mana-mana kedudukan.

"Kami tahu, jika kami melakukan perkara yang betul, kami semua akan mendapat manfaat daripadanya dan jika keadaan menjadi lebih buruk, kami semua akan menderita.

"Kami tahu situasi ini sukar. Kami harus bersatu untuk menyatakan pendapat kami dan melakukan segala yang mungkin agar pasukan masuk ke saingan dalam kedudukan terbaik," katanya.