Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) menafikan berlaku penipuan atau pemalsuan tiket bagi menyaksikan perlawanan pertama Sabah bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Pemangku Presiden, Datuk Peter Anthony, berkata isu berkenaan sengaja digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak bagi memburukkan pentadbiran baru SAFA yang belum pun sampai tiga bulan mengendalikan persatuan itu.

Katanya, semua penjualan tiket dibuat secara telus dan semua hasil jualan juga telah dimasukkan dalam akaun SAFA.

"Isu (tiket) ini sengaja digembar-gemburkan di media sosial dan saya difahamkan ada pihak telah membuat laporan polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Saya juga dimaklumkan bahawa sejak kebelakangan ini ada segelintir pihak asyik membuat kenyataan-kenyataan negatif mengenai SAFA di media sosial atas sebab yang hanya mereka sendiri tahu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata pengurusan baru SAFA sedia memberi kerjasama dan penerangan kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu, termasuk berhubung penjualan tiket.

"SAFA, bagaimanapun, tidak akan teragak-agak juga mengambil tindakan, termasuk mendakwa pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba memburuk-burukkan SAFA atas kepentingan peribadi atau politik.

"Kami sedang berusaha meletakkan semula SAFA di landasan yang betul dan kami tidak perlukan gangguan seperti kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab," katanya.