Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa kejohanan empat penjuru, Piala Airmarine 2019, dari 20 hingga 23 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak melibatkan pemain skuad B-23 tahun negara .

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata perkara itu bertujuan memberi laluan kepada pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi kelayakan Kejohanan AFC B-23 dari 22 hingga 26 Mac ini.

Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan pemain B-23 negara itu telah dipersetujui selepas berbincang dengan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, dan Kim Swee.

“Ia juga atas permintaan Kim Swee dan kami telah memaklumkan perkara ini kepada Cheng Hoe supaya memilih pemain yang lain,” katanya dalam sidang media Kejohanan Piala Airmarine 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Piala Airmarine akan disertai skuad Harimau Malaya, Kepulauan Solomon, Oman dan Singapura.

Sebagai rekod, skuad B-23 negara di bawah kendalian Kim Swee berjaya mencipta kejutan dalam Kejohanan AFC B-23 2018 di China apabila menewaskan Arab Saudi 1-0 untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum tewas 1-2 kepada naib juara edisi 2016, Korea Selatan, dalam pusingan suku akhir.

Empat tunjang utama negara, Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid dan Syahmi Safari tidak dapat dibariskan oleh Cheng Hoe dalam saingan Piala Airmarine.

"Empat pemain ini berkemampuan untuk membantu skuad kendalian Kim Swee bagi saingan B-23," kata Cheng Hoe.

"Dalam masa sama, kami mahukan kemenangan buat skuad kebangsaan bagi meningkatkan ranking skuad negara. Tetapi persetujuan telah dicapai bagi membantu skuad B-23 negara."

Kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020 menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan J yang turut dibarisi China, Laos dan Filipina.

Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan layak secara automatik.

-- BERNAMA