Pengendali Uruguay, Oscar Tabarez, menganggap tiada pemain yang mampu menghalang Cristiano Ronaldo sambil menegaskan usaha keseluruhan pasukannya untuk menyekat kapten Portugal itu dalam aksi pusingan 16, awal pagi esok.

Ronaldo mempamerkan persembahan cemerlang di Russia dengan menjaringkan empat gol dan membantu juara Euro 2016 dan naib juara Kumpulan B itu mara ke pusingan kalah mati.

Seluruh mata di Stadium Fisht di Sochi akan memberikan tumpuan kepada Ronaldo dan Tabarez memahami tugas yang perlu dihadapi Uruguay –- yang layak sebagai juara Kumpulan A -- dalam misi mara ke pusingan suku akhir.

"Saya percaya Ronaldo adalah salah seorang penyerang terbaik dunia," kata Tabarez. "Bukan sahaja cemerlang dengan kualiti yang dimiliki, dia juga seorang pemimpin pasukan. Tiada pemain yang mampu mengekangnya. Kami akan berkerja sebagai satu pasukan untuk mengatasi Ronaldo bagi mengurangkan impaknya dalam perlawanan ini.

"Ia akan menjadi perlawanan yang hebat. Kami perlu membuktikan sesuatu bagi memastikan ke pusingan seterusnya.

"Sembilan daripada pemain Portugal adalah pemenang Euro 2016. Mereka adalah pasukan yang berkualiti. Kami telah membuat persiapan selama 12 tahun untuk berada di tahap ini. Kami semakin hampir mencapai sasaran utama dalam saingan Piala Dunia.

Uruguay mara ke pusingan kalah mati tanpa dibolosi sebarang jaringan di samping menjaringkan lima ketika berdepan Mesir, Arab Saudi dan tuan rumah, Russia.

Penyerang utama, Luis Suarez, mengetuai jentera serangan dengan dua gol dalam tiga perlawanan di Russia.

Selepas bergelut dalam aksi berdepan Mesir, Suarez menjaringkan gol kemenangan ke atas Arab Saudi sebelum mencetak gol berdepan Russia.

"Kami bermain jauh lebih baik berbanding perlawanan pertama," katanya. "Anda berusaha untuk mencapai tahap terbaik dalam perlawanan tersebut.

"Tugas berat menanti kami. Mereka adalah juara Euro 2016. Saya telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini," katanya lagi.