Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, tetap melihat aksi menentang Kuala Lumpur dalam saingan Piala Malaysia di Ipoh malam ini penting walaupun skuad The Bos Gaurus sudah melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Menurut Durakovic, momentum kemenangan selepas menewaskan PKNS FC perlu diteruskan untuk menanam kepercayaan kepada pemain dan peminat.

"Sudah semestinya saya tidak mahu tewas di gelanggang dan di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Namun, Durakovic tidak menafikan inilah peluangnya untuk merehatkan pemain-pemain penting di samping memberi peluang pemain simpanan untuk beraksi.

"Bulan yang memenatkan. Bermain enam kali berturut-turut di luar Ipoh, sudah tentu amat meletihkan.

"Secara jujurnya, semua pemain utama perlu rehat tetapi saya tetap mahukan kemenangan. Saya akan aturkan. Kita lihat nanti."

Ini adalah perlawanan pertama di Stadium Perak setelah kembali mendapat kelulusan daripada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Amat bagus untuk beraksi di sini kembali. Namun, pujian kepada penyokong Perak ketika kami beraksi di Shah Alam. Sungguh bersemangat dan positif," tambah Durakovic.

Perak kini menerajui Kumpulan B dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.