Presiden Real Madrid, Florentino Perez, memberi bayangan bahawa zaman Real Madrid berbelanja besar dan mendapatkan 'Galacticos' telah tamat dan kini mereka fokus dalam membawa masuk pemain muda terbaik dunia.

Madrid dikaitkan dengan cubaan untuk mendapatkan Neymar dan Eden Hazard selepas Piala Dunia bagi menggantikan Cristiano Ronaldo sambil Thibaut Courtois dijadikan sasaran penjaga gol baru.

Bagaimanapun, tiga pemain yang telah tiba di Santiago Bernabeu adalah individu yang tidak begitu dikenali tetapi memiliki potensi yang cerah, sesuatu yang Perez mahu teruskan.

Pemain muda seperti Vinicius Junior (18 tahun), Rodrygo Goes (17) dan Andriy Lunin (19) telah sah menyertai juara Eropah itu dan Perez menjelaskan kehadiran trio itu menjadi keutamaan Madrid untuk meneruskan langkah mereka.

"Sedikit demi sedikit, kami bergantung kepada dasar pasukan ketika ini serta masa depan," katanya.

"Kami mahu mendapatkan pemain muda yang akan membentuk masa depan, pemain-pemain yang mempunyai keazaman untuk beraksi di tahap maksimum.

"Selepas kejuaraan yang terakhir, kami akan terus menunjukkan kesetiaan terhadap sukan ini yang telah memberikan banyak kejayaan buat kami.

"Kelab kami telah mencipta hikayat tersendiri serta legenda yang berpegang kepada prinsip tidak mengalah dan kami harus sentiasa berazam untuk mencapai semua kejayaan.

"Kejuaraan yang ada hari ini diraih hasil daripada sifat rendah diri, kerja keras serta komitmen dan kami berdepan cabaran sebagai satu pasukan," tambahnya.

Penjaga gol Ukraine, Lunin, menyertai Madrid dari Zorya menerusi yuran EUR14 juta (RM66 juta) tetapi masih belum pasti sama ada dia akan beraksi dalam skuad utama atau dihantar keluar secara pinjaman.

"Saya teruja berada di sini. Ia adalah kelab terbesar di dunia dan satu kebanggaan dapat menjadi sebahagian daripadanya.

"Saya memilih Real Madrid kerana kemenangan adalah satu elemen yang penting dalam sukan dan seperti sukan lain, saya sentiasa dahagakan kemenangan.

"Kini, saya berlatih bersama pasukan dan saya gembira. Saya mahu mendapatkan lebih banyak pengalaman dan berkembang dengan baik.

"Keylor Navas berada dalam pasukan dan saya teruja untuk melalui sesi latihan bersamanya, mempelajari banyak perkara dengannya."