Gary Neville berkata tiada sebarang jaminan untuk Eric ten Hag mengambil alih selaku pengurus Manchester United pada ketika kelab itu kini menjadi bahan "jenaka".

Ketua jurulatih Ajax, Ten Hag, dilaporkan menjadi sasaran United untuk menggantikan pengurus interim, Ralf Rangnick, hujung musim ini.

The Red Devils kelihatan akan terlepas slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan dengan kini berada di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas kepada Everton hujung minggu lalu.

United tidak pernah memenangi sebarang trofi sejak 2017 dan kini sedang dalam pembinaan semula pasukan.

Neville menyalahkan pemain United atas pretasi hambar terbaru mereka dan walaupun bekas pertahanan United itu berharap Ten Hag akan menyertai pasukan itu, dia tidak akan terkejut sekiranya jurulatih itu memilih untuk tidak ke Old Trafford.

Dia berkata dalam Gary Neville Podcast: "Saya hanya tinggal beberapa perkataan untuk Manchester United. Tiada lagi rasa marah, tiada lagi komen. Mereka agak kelakar; anda hampir dapat menjangkakannya daripada mereka. Pemain menjatuhkan Ralf Rangnick bersama mereka. Mereka tidak bagus.

"Mereka perlu menamatkan musim ini secepat mungkin. Realitinya, apa sahaja prestasi seperti ketika mereka menentang Leicester (City) dan Everton, mereka mampu untuk menduduki empat teratas tetapi mereka tidak mempunyai semangat untuk melawan.

"Apabila saya melihat kepada Manchester City dan Liverpool, mereka mempunyai pemain yang rendah diri, tidak terlalu dipenuhi dengan ego, mereka faham posisi mereka, pasukan sentiasa diutamakan.

"Tiada seorang pun pemain Manchester United yang layak untuk berada dalam kedua-dua pasukan itu, jadi mengapa anda perlu mempunyai terlalu banyak ego memenuhi diri, berfikir anda tidak perlu bekerja keras atau tanpa semangat? Saya tidak dapat melihat apa-apa lagi," katanya.

Dia menambah: "Saya membaca dalam akhbar hujung minggu lalu bahawa Erik ten Hag mahu segala keinginannya dipenuhi atau dia tidak akan datang ke kelab itu. Bayangkan jika mereka tidak dapat Ten Hag kerana apa yang sedang berlaku ketika ini, dan bagaimana buruknya keadaan yang sedang kelab itu lalui.

"Jika anda melihat apa yang Manchester United lakukan kepada pemain, tiada siapa berkembang di sana. Lihat apa yang mereka lakukan kepada Donny Van de Beek. Jika anda Ten Hag, saya fikir anda akan menghubungi Van de Beek. Bagaimana keadaan di sana Donny? Dia tidak akan cakap mengenai sesuatu yang baik bukan?

"Saya syak apa yang Ten Hag mahukan bukanlah kewangan, ia tentang kawalan pasukan, pengambilan pemain, struktur, pembangunan. Saya syak dia mahu datang dan memastikan dia tidak terdedah kepada apa yang dilalui pengurus lain selama 10 tahun lalu," katanya lagi.