Pengendali skuad B-18 negara, Bojan Hodak, menegaskan kedudukan Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Shivan Pillay belum terjamin sekalipun kedua-dua pemain itu memiliki reputasi selaku anggota skuad B-23 yang menyinar di China, Januari lalu.

Hadi dan Shivan adalah antara lima pemain skuad B-19 yang terpilih mewakili negara ke Kejohanan AFC B-23 selain Nik Akif Syahiran, Akhyar Rashid dan K. Thivandaran.

Meskipun kedua-dua pemain itu gagal mendapat tempat dalam skuad utama Datuk Ong Kim Swee dalam kejohanan itu, ia tetap menjadi satu pencapaian hebat buat mereka apabila beraksi di peringkat tertinggi pada usia 18 tahun.

Kini, kedua-duanya akan menggalas tugas untuk skuad B-18 dan Hodak menuntut usaha berganda daripada anak buahnya itu sebelum dipilih dalam skuad akhir 22 pemain ke Kejohanan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun, bulan ini.

"Tiada jaminan buat pemain-pemain berada dalam senarai untuk beraksi di Jepun, mereka perlu mempamerkan prestasi cemerlang untuk dipilih," kata Hodak.

Hadi dan Shivan, bagaimanapun, adalah antara enam daripada 27 pemain yang belum melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat pasukan ini kerana mempunyai komitmen bersama skuad Piala Presiden masing-masing.

Sebagai persiapan mantap ke Fukuoka, pasukan ini akan ke Singapura, Isnin depan untuk tiga perlawanan ujian, dengan Hodak mahu menerapkan falsafah bola sepak baru kepada pemain-pemainnya.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan pegawai teknikal baru yang bakal menerapkan satu pendekatan permainan buat skuad Malaysia dan kami akan cuba mengetengahkannya dalam pasukan ini," katanya lagi.