Dua tonggak utama Kedah, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari, tidak menganggap kehadiran bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe, dalam kem kebangsaan mampu memberi apa-apa kelebihan kepada mereka atau pemain Lang Merah yang lain.

Walaupun mungkin ada sedikit kelebihan kerana cara permainan mereka sudah difahami pembantu jurulatih negara berkenaan, itu bukan tiket untuk mereka berasa selesa.

Sebaliknya, Syazwan dan Khairul berpandangan peluang merebut kesebelasan utama kini seimbang kepada semua pemain.

"Bagi kami (pemain Kedah), tiada masalah kerana kami sudah biasa di bawah tunjuk ajarnya di Kedah.

"Tetapi itu bukan jaminan kepada pemain-pemain Kedah untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

"Kami perlu berusaha lebih keras.

"Kami perlu menunjukkan prestasi yang lebih bagus dalam sesi latihan pada setiap hari kerana jurulatih baru (Nelo Vingada) mahu menilai keupayaan dan keistimewaan pemain, kata pemain sayap negara, Syazwan.

Ketua pasukan Hijau Kuning, Khairul Helmi Johari, turut menekankan aspek kerja keras dalam usaha memikat Vingada.

"Kami perlu bekerja lebih keras walaupun Cheng Ho ada berada dalam pasukan kerana kami tidak boleh bergantung kepadanya.

"Ini semua atas diri sendiri sebagai pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam sesi latihan dan cuba merebut tempat utama."