Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan setakat ini tiada sebarang halangan daripada Kerajaan Malaysia terhadap perjalanan skuad bola sepak negara yang akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang, bulan depan.

Sebelum ini, wujud ketegangan membabitkan Malaysia dan Korea Utara ekoran kes pembunuhan berprofil tinggi, Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Februari lalu.

Ekoran kes tersebut, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memohon kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menunda tarikah yang dijadualkan pada 28 Mac dan 8 Jun serta mahu menukar venue kerana risau dengan keselamatan pemain negara.

Namun, isu itu kini tampak sudah reda dan ia ternyata memberi kelegaan buat skuad Harimau Malaya untuk aksi di Pyongyang, 5 Oktober depan.

"Setakat ini belum lagi ada apa-apa halangan daripada pihak kerajaan.

"Kalau ada apa-apa perkembangan, saya akan memaklumkannya dari semasa ke semasa," ujar beliau.