Jose Mourinho berharap Manchester United mampu bertahan di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun beliau melihat tiada beza mengakhiri saingan di tangga keempat mahupun kedua.

United berada di kedudukan kedua di belakang pendahulu EPL, Manchester City, sepanjang musim ini dan dilihat akan mengakhiri saingan musim ini dalam kelompok empat terbaik.

Dua kekalahan dalam empat perlawanan memberikan ruang kepada Liverpool untuk merapatkan kedudukan dengan skuad kendalian Mourinho itu tetapi kemenangan 2-1 ke atas Chelsea pada Ahad lalu membantu mereka kekal di tangga kedua liga.

Mourinho meletakkan sasaran untuk kekal dengan kedudukan ini walaupun beliau menyifatkan tiada beza mengakhiri saingan di tempat keempat mahupun kedua, sebaliknya perkara paling utama adalah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

"Jurangnya terlalu kecil," kata Mourinho.

"Enam mata di antara tangga kedua dan kelima adalah sangat rapat dan saingan masih terbuka buat semua pasukan.

"Perkara paling utama buat kami adalah beraksi dalam saingan UCL pada musim depan, tidak mengira pada kedudukan kami akhiri musim ini," katanya lagi.