Di Jerman, ada 'tagline' yang sering digunakan untuk memerihalkan Thomas Tuchel - 'Laptop Coach'. Jurulatih Komputer.

Bukan seolah-olah untuk memberi gambaran bahawa Tuchel adalah seorang ‘nerd’ dari konteks yang negatif. Tetapi lebih kepada menerangkan persona Tuchel sebagai seorang manusia dan juga seorang jurulatih. Manusia yang obses dengan butir-butir kecil. Manusia yang taksub dengan kesempurnaan.

Di atas kertas, Tuchel adalah seorang jurulatih yang masih belum lagi mengecapi kejayaan yang luar biasa. Gagal memenangi liga bersama Borussia Dortmund di Bundesliga. Dua kejuaraan Ligue 1 bersama PSG, tetapi tidak berjaya membantu kelab Paris itu mengecapi aspirasi terbesar mereka iaitu menjadi Raja Bola sepak Eropah. Atau dalam erti kata lain, memenangi UEFA Champions League.

Mungkin itu yang mendorong persepsi orang ramai terhadapnya, yang cukup ketara dan jelas apabila Tuchel mengambil alih jawatan pengurus Chelsea pada bulan Januari lepas.

“Boleh ke dia nak survive di Premier League? Kenapa Chelsea tak kejar nama yang lebih besar? Ligue 1 bukan susah nak menang pun”

Tidak mengejutkan kerana Bundesliga dan Ligue 1 bukanlah pentas bola sepak yang menerima fokus media antarabangsa, sebanyak Liga Perdana Inggeris, Serie A dan juga La Liga. Sepanjang proses evolusi Tuchel sebagai seorang jurulatih, dia seolah-olah terlindung dari mata-mata tabloid antarabangsa, sehingga keputusan Chelsea untuk melantiknya mula dipersoalkan.





Buat individu-individu yang mengikuti perkembangan Thomas Tuchel sejak dia menggantikan Jurgen Klopp di Dortmund pada tahun 2015, tidak sukar untuk melihat identiti dan falsafah bola sepak yang menjadikannya antara jurulatih yang paling unik di Eropah. Sebagai pengganti Klopp, Tuchel sering kali dikaitkan dengan corak bola sepak jurulatih Liverpool itu. Namun, Tuchel sendiri pernah mendedahkan bahawa pengaruh terbesar dalam kariernya adalah Pep Guardiola.

Mungkin dari sudut pandangan intensiti, boleh kita lihat persamaan di antara Tuchel dan Klopp. Kedua-dua lebih cenderung ke arah pressing yang luar biasa di atas padang, tetapi Klopp lebih ‘vertical’ dan gemar melancarkan bola ke bahagian final third secepat mungkin. Heavy metal football, kata mereka. Tetapi Tuchel masih berpegang kepada prinsip ball possession, cuma disaluti dengan elemen intensiti tinggi.

Untuk memahami gaya permainan yang sebenarnya disukai oleh Tuchel, kita perlu kembali ke 2015-2017, untuk melihat corak permainan Borussia Dortmund. Di bawah Klopp, Dortmund sempat meraih gelaran juara Bundesliga dan juga pernah mara ke final Liga Juara-Juara Eropah. Tetapi secara peribadi, dan juga untuk ramai peminat bola sepak di Eropah, jenama dan gaya bola sepak yang dimainkan di bawah Tuchel lebih luar biasa, biarpun mereka hanya memenangi satu piala - DFB Pokal pada tahun 2017.

Aubameyang muncul bintang utama pasukan tersebut dengan 56 jaringan dalam 59 perlawanan liga sepanjang dua musim di bawah Tuchel. Tetapi, individu yang paling menarik perhatian orang ramai pada ketika itu adalah Henrikh Mkhitaryan. Dia hanya beraksi satu musim sahaja di bawah Tuchel, tetapi pada musim tersebut, rekod jaringan dan bantuan jaringan yang dicipta oleh Mkhitaryan mengejutkan Eropah.

11 gol, 15 bantuan jaringan dalam 31 penampilan Bundesliga. Sehingga hari ini, 2015-2016 adalah satu-satunya tempoh yang melihat Mkhitaryan mencatat lebih daripada 10 bantuan jaringan dalam satu musim. Perkara ini lebih menakjubkan apabila kita mengambil kira faktor bahawa bintang Armenia itu dikenali sebagai ‘system specific player’ yang memerlukan persekitaran taktikal yang tertentu untuk memastikan pulangan yang bernas.

Lihat sahaja bagaimana Mkhitaryan mengalami kesusahan untuk mencari rentak di bawah Jose Mourinho di Man Utd. Bagaimana di turut mengalami kesusahan untuk menampilkan aksi positif bersama Arsenal. Malah di AS Roma juga, Mkhitaryan hanya mula menyinar secara konsisten pada musim keduanya, apabila Paulo Fonseca mula menggunakannya sebagai titik fokus di posisi No.10, dengan kebebasan untuk bergerak tanpa perlu terikat dengan tugas defensif. Hasilnya? 13 gol dan 10 catatan assist musim tersebut.

Apabila melihat kontribusinya di PSG, kita perlu sentiasa mengambil kira dua faktor yang penting. Yang pertama, persekitaran penuh politikal di PSG jelas bertentangan dengan corak pengurusan Thomas Tuchel, yang lebih berteraskan emosi dan jiwa. Yang kedua, bilik persalinan di Parc de Princes dipenuhi dengan nama-nama besar yang terlalu dibuai ego sendiri sehingga tidak kerap memberikan 100% di atas padang, ataupun memenuhi kehendak berintensiti tinggi daripada Thomas Tuchel. Ini menidakkan kebolehan Tuchel untuk membina sebuah pasukan yang menjadi lambang falsafah bola sepaknya.

Apa yang gagal dilakukan oleh Tuchel di PSG, adalah perkara yang berjaya dilakukan dengan segera di Chelsea. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk menerapkan ideologinya ke atas skuad The Blues dan perkara tersebut juga tidak mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil. Chelsea berjaya menamatkan musim lepas di kedudukan empat teratas dan yang lebih penting, muncul pasukan terbaik di Eropah apabila menumpaskan Man City di final Liga Juara-Juara Eropah.

Perbezaannya? Chelsea dibarisi pemain-pemain berkualiti, berpotensi tinggi dan berkelas dunia, tetapi tidak disaluti dengan ego-ego yang terlalu besar. N’Golo Kante akan berjuang 200% di atas padang. Kai Havertz dan Timo Werner adalah dua pemain Jerman yang efisien dalam menuruti kehendak jurulatih masing-masing di Bundesliga. Mason Mount adalah ‘pressing monster’ yang tidak pernah mengeluh. Azpilicueta, terutamanya, adalah jeneral yang memimpin melalui aksi di atas padang.

Koleksi pemain yang dimiliki Chelsea sememangnya mempersonakan. Apa yang mereka dahagakan sebelum ketibaan Tuchel adalah sebuah sistem yang boleh menukar potensi menjadi realiti. Dan proses itu berlaku dengan cukup laju apabila Tuchel mengambil alih pasukan tersebut. Dia melihat kualiti yang sedia ada, dia mengenal pasti kelemahan yang sedia ada dan dia merangka sistem terbaik untuk memperkasakan kekuatan dan menutup kelemahan.




Kebolehan Tuchel untuk menjadi Sesumpah Taktikal di atas padang melihat Chelsea beraksi dengan variasi dan kepelbagaian dalam setiap perlawanan, bergantung kepada kebolehan pihak lawan. Sistem yang digunakan untuk menghimpit Man City berbeza dengan sistem yang digunakan untuk menidakkan jentera heavy metal Liverpool.

Variasi ini, dengan penambahbaikan kualiti di bahagian serangan melalui ketibaan Romelu Lukaku, kini menjadikan Chelsea pasukan yang wajar digeruni. Bukan sahaja di England, tetapi di seluruh Eropah. Prestasi yang ditampilkan pada babak kedua menentang Liverpool, apabila mereka beraksi dengan 10 pemain, perlu dilihat sebagai penanda aras kerana mereka cukup efektif dalam menyerap tekanan tinggi yang diletakkan oleh sistem Klopp dan juga suasana di Anfield.

Musim 2021/2022 dijangka akan menjadi antara musim paling kompetitif dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, dengan kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United, kebangkitan Tottenham di bawah Nuno Espirito Santo, dominasi berterusan Man City dan juga resusitasi Liverpool. Tetapi kepelbagaian taktikal dan juga disiplin skuad Thomas Tuchel bermakna Chelsea mungkin perlu dilabel sebagai pasukan ‘favourites’ untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris.