Pemain tengah Pulau Pinang, K. Thivandaran, mengakui dia kini hanya bermain untuk menyelamatkan karier dan bukan kerana wang selepas pasukannya dihimpit masalah gaji.

Pemain skuad bawah 19 tahun negara itu beraksi ketika Pulau Pinang diikat seri tanpa jaringan oleh UiTM FC dalam aksi Kumpulan B, Piala Cabaran di Shah Alam, semalam.

Selepas penampilannya mencuri tumpuan, Thivandaran tampil memberikan penjelasan mengenai statusnya bersama Pulau Pinang selepas difahamkan skuad yang beraksi dalam Liga Perdana itu kini berdepan masalah membabitkan tunggakan gaji selama tiga bulan.

"Kami memang berharap dapat mengutip tiga mata tetapi tidak mengapa. Kami tetap beraksi sebagai satu pasukan dan bukan individu. Satu mata cukup untuk membuatkan kami bersyukur," katanya.

"Pelbagai masalah dihadapi ketika ini tetapi barisan pemain tidak menghiraukannya. Memang saya ada menerima tawaran daripada Kedah tetapi saya tetap milik Pulau Pinang pada musim ini."