REAL MADRID 0 VILLAREAL 0

Thibaut Courtois melengkapkan aksi tanpa bolos yang ke-100 LaLiga tetapi penjaga gol Real Madrid itu masih dikecewakan memandangkan buntu tanpa jaringan dengan Villarreal, awal pagi tadi.


Tonggak antarabangsa Belgium itu muncul salah seorang daripada lima penjaga gol LaLiga yang merakamkan pencapaian sedemikian pada abad ke-21.

Begitupun, pemain berusia 29 tahun itu lebih terkilan apabila mereka tercicir mata untuk Madrid terlepas peluang mengukuhkan kedudukan di tangga teratas LaLiga kepada lima mata selepas seteru kota, Atletico, tewas kepada Alaves.

"Rekod tanpa bolos tidaklah buruk memandangkan gawang saya bocor dalam perlawanan terakhir," katanya kepada Movistar.

"Keputusan seri ini pahit untuk ditelan kerana kami beraksi di tempat sendiri. Lebih-lebih lagi apabila pencabar utama tewas, jadi kami mahu memenangi tiga mata. Kutipan hari ini tidak memadai untuk kami.

"Kami telah mempersiapkan diri dan berusaha memberi tekanan kepada pihak lawan tetapi dalam separuh masa pertama mereka beraksi dengan sangat baik. Sukar untuk merampas bola daripada mereka.

"Kami terlalu banyak kehilangan hantaran. Kadang-kadang ia berlaku."




Pengurus Madrid, Carlo Ancelotti, berasakan taktik yang diterapkan adalah tepat walaupun pasukannya sekadar melancarkan dua percuban tepat ke sasaran.

Kedua-duanya hadir dalam babak kedua selepas Madrid gagal mengatur sebarang percubaan dalam 45 minit pertama buat julung kalinya di bawah kendalian pengurus berbangsa Itali itu.

"Saya tidak fikir tersilap pendekatan malah ia betul," kata Ancelotti dalam sidang media.

"Adalah sukar untuk beraksi di antara garisan kerana mereka berkubu dengan baik. Dalam babak pertama, kami menghadapi kesukaran kerana kami tidak mengawal Etienne Capoue.

"Dalam separuh masa kedua pula, kami memiliki lebih banyak penguasaan tetapi kami tidak menemui peluang yang baik. Kami lebih tekal tetapi sangat sukar untuk menekan lawan kerana mereka mengawal bola dengan baik."

Ia perlawanan ke-800 buat Ancelotti sebagai pengurus dalam lima kancah utama Eropah dan ia keputusan seri ke-182 peribadinya di samping 475 kemenangan dan 143 kekalahan.

Madrid mengungguli puncak dengan tiga mata di depan Sevilla yang masih mempunyai kelebihan satu perlawanan.

"Kami menamatkan perlawanan tanpa dibolosi dan ia sesuatu yang positif selepas apa yang berlaku dalam perlawanan sebelum ini," tambahnya.

"Apabila menentang Villarreal, jika bukan malam terbaik anda, adalah sukar untuk menang. Kami masih berada dalam saingan liga dan itulah yang penting."