Chelsea memuktamadkan perjanjian mengikat pertahanan, Thiago Silva, secara percuma yang dilepaskan Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan tengah dari Brazil berusia 35 tahun itu menyertai The Blues menerusi perjanjian selama tahun dengan pilihan melanjutkannya 12 bulan lagi untuk mengharungi pengalaman pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Silva merupakan pemain kelima yang disambar pasukan kendalian Frank Lampard itu menjelang musim 2020-21 susulan kehadiran Hakim Ziyech, Timo Werner, Ben Chilwell dan Malang Sarr.

Dia berkata: "Saya sangat gembira dapat menyertai Chelsea. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada skuad menarik Frank Lampard untuk musim depan dan saya di sini untuk mencabar gelaran.

"Kita akan berjumpa kelak Chelsea, saya tidak sabar untuk beraksi di Stamford Bridge tidak lama lagi."



Pengarah kelab London itu, Marina Granovskaia, berkata: "Kami gembira dapat menambah seorang pemain ke dalam skuad kami yang sudah terbukti bertaraf dunia seperti Thiago Silva.

"Selepas mempamerkan tahap tertinggi sejak bertahun-tahun lalu, kami pasti pengalaman dan kualitinya akan melengkapkan bakat-bakat menarik yang kami miliki di sini.

"Thiago akan menjadi suntikan dan kami berharap dia dapat menambahkan beberapa gelaran baru dalam deretan piala yang pernah dimenanginya."

Silva, yang membawa PSG muncul finalis Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, muncul salah seorang bek tengah terbaik di dunia ketika memperkuatkan Milan sebelum bergabung dengan PSG pada 2012, seterusnya menikmati kejayaan besar di Perancis.

Dia dilantik sebagai ketua pasukan kelab itu sejurus tiba yang menyaksikannya merangkul tujuh gelaran Ligue 1, lima mahkota Coupe de France dan Coupe de la Ligue sebanyak enam kali.