Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, Thiago Alcantara 'seperti pemain golf bertaraf dunia', sambil menegaskan masih banyak yang akan datang daripada pemain Sepanyol itu di Anfield.

Thiago bergabung dengan Liverpool daripada juara Bundesliga, Bayern Munich tetapi pemain kebangsaan Sepanyol itu mengalami permulaan hidup kurang konsisten di Merseyside, di mana kecederaannya menjejaskan musim pertamanya.

Pemain tengah berusia 30 tahun itu beraksi dalam tiga perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), dalam kesebelasan utama sekali, sementara hadir sebagai pemain gantian dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Milan.

Setahun selepas ketibaannya, Klopp memuji Thiago menjelang pertembungan dengan Crystal Palace.

"Permulaannya kurang sempurna," kata Klopp. "Dia positif COVID-19, mengalami kecederaan sekaligus mendatangkan kesukaran baginya. Tetapi dia membuktikan kemampuannya bersama kami. Banyak lagi mampu dipamerkan oleh Thiago.


"Dia kerap beraksi di posisi nombor enam, tetapi bagi kami ia adalah posisi yang agak kompleks; anda perlu menyerang, perlu bertahan, dan banyak lagi.

"Tetapi dia seorang pemain bola sepak yang semula jadi namun dia bukanlah seorang pemain yang mampu melakukan 15 atau 16 perkara berbeza di atas padang.

"Dia memiliki visi yang baik dan mampu mengubah situasi perlawanan dengan hantarannya. Dia mampu melakukan hantaran seperti pemain golf melakukan pukulan. Dia melakukannya tanpa berfikir.

"Saya gemar dengan cara dia beraksi. Kami memiliki barisan pemain yang berkualiti dan setiap daripadanya berbeza-beza yang bersesuaian dengan mana-mana lawan yang perlu dihadapi."