Theo Hernandez menandatangani kontrak jangka panjang baru di AC Milan yang hanya akan tamat pada penghujung musim 2025-26.

Pemain kebangsaan Perancis itu merupakan tonggak utama Milan sejak tiba daripada Real Madrid pada Julai 2019, di mana dia meraih reputasi sebagai antara pertahanan sayap terbaik daripada aspek menyerang dalam bola sepak Eropah.

Hernandez dikaitkan untuk menyertai beberapa pasukan gergasi seperti Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea tetapi pertahanan itu -- yang kontrak asalnya akan tamat pada Julai 2024 -- memilih untuk memeterai kesepakatan baru dengan Milan.

Kelab Serie A itu berkata dalam satu kenyataan: "AC Milan gembira untuk mengumumkan bahawa Theo Bernard Francois Hernandez telah memperbaharui kontraknya sehingga 30 Jun 2026.

"Pemain itu menyertai Rossoneri pada musim panas 2019 dan segera membuktikan kualitinya di atas padang, meraih minat dan kasih sayang peminat AC Milan dari seluruh dunia."

Kontrak baru Hernandez dilaporkan bernilai €4.5 juta (RM21.40 juta) setahun, jauh lebih besar berbanding pendapatannya sebelum ini.