AC Milan mengesahkan bahawa pertahanan kiri mereka, Theo Hernandez, diuji positif COVID-19.

Pemain berusia 24 tahun itu memainkan peranan penting ketika membantu Perancis memenangi gelaran Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan menjaringkan gol kemenangan dramatik pada minit ke-90 ketika menewaskan Belgium 3-2 dalam separuh akhir sebelum membantu jaringan Kylian Mbappe sewaktu menumbangkan Sepanyol 2-1 dalam final.

Perlawanan akhir menentang Sepanyol kendalian Luis Enrique itu berlangsung di Milan dan ia bermakna Hernandez dapat terus berada di bandar itu menjelang kepulangannya ke kelabnya.

Bagaimanapun, dia kini akan terlepas perlawanan menentang Hellas Verona apabila saingan liga bersambung hujung minggu ini kerana perlu menjalani pengasingan.

Hernandez menikmati permulaan cemerlangnya bersama Milan musim ini, di mana dia menghasilkan tiga bantuan jaringan selain satu gol.

Fode Ballo-Toure kelihatan akan menggantikan tempatnya dalam usaha pasukan di tangga kedua, Milan, merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A, Napoli.

Pasukan kendalian Stefano Pioli itu tidak pernah tewas musim ini dan telah mengumpulkan 19 mata daripada tujuh perlawanan.

Kemenangan pada hujung minggu ini akan menyaksikan mereka mencipta rekod permulaan terbaik selepas lapan perlawanan dalam era tiga mata bagi setiap kemenangan.