Penyerang Negeri Sembilan, N. Thanabalan, terkilan kerana tidak dapat menyertai latihan pasukan kebangsaan selepas disahkan mendapat kecederaan di bahagian meniskus yang mungkin memaksanya berehat selama sebulan.

Thanabalan sebelum ini berada dalam senarai awal 24 pemain bagi menghadapi Fiji di Stadium Cheras, Khamis ini, tetapi digugurkan bersama Ahmad Hazwan Bakri, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan La'Vere Corbin-Ong akibat cedera.

Situasi itu sedikit merugikan Thanabalan yang mahu memperagakan sesuatu bersama skuad kebangsaan, namun dia pasrah mungkin tiada rezeki buat dirinya kali ini.

Dia ditimpa kecederaan itu dalam sesi latihan sebelum Negeri Sembilan berdepan Terengganu, Rabu lalu.

"Saya mendapat kecederaan tahap pertama ACL, meniskus bengkak tetapi tidak pasti koyak atau tidak. Saya berharap ia tidak koyak. Doktor memberitahu saya boleh menjalani latihan semula selepas empat atau lima minggu," katanya.

Pada masa sama, Thanabalan meniupkan semangat perjuangan kepada rakan sepasukan di Negeri Sembilan agar terus berjuang tanpa dirinya.

Dia menyifatkan tidak mustahil daripada baki lima perlawanan, Negeri Sembilan mampu menang empat daripadanya untuk kekal berada dalam Liga Super pada musim depan.

"Kalau saya tiada, ia bukan satu masalah untuk Negeri Sembilan. Mungkin sebelum ini, kami bermain dengan pasukan-pasukan hebat, Perak, Terengganu, Pahang dan JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Selepas ini, kami akan bermain menentang pasukan yang lebih dekat dengan kami seperti Melaka dan Kuala Lumpur.

"Mungkin ada peluang dalam lima perlawanan akan datang ini. Kalau menang empat pun sudah cukup untuk kami kekal dalam Liga Super," katanya lagi.