Penyerang Felcra FC, N. Thanabalan, berazam membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala FAM setelah terlepas saingan suku akhir pertama akibat penggantungan perlawanan, kelmarin.

Thanabalan, 22, terpaksa menonton perlawanan bertemu Terengganu City FC (TCFC) dari luar padang dan menyaksikan aksi itu berkesudahan seri 1-1.

Ketiadaan tonggak skuad B-22 negara itu nyata dirasai Felcra yang terlepas beberapa peluang keemasan untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.

Begitupun, Thanabalan tetap menyifatkan tiada jalan mudah buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan itu selepas hampir sebulan bersama skuad Sukan SEA negara.

“Saya sudah biasa dengan rentak bersama rakan-sepasukan yang lain walaupun sudah lama tak bermain dengan mereka.

“Terpulang kepada perancangan jurulatih (Rosle Md Derus) sama ada mahu menurunkan saya atau tidak, saya hanya mahu buat yang terbaik untuk ke separuh akhir,” katanya.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Thanabalan juga tidak memandang rendah keupayaan TCFC yang beraksi julung kali dalam saingan Piala FAM selepas penubuhan kelab itu tahun ini.

“Kawan-kawan sudah berjuang sehabis baik dan ini keputusan yang baik dengan satu gol di tempat lawan.

“Namun, kami masih perlu bermati-matian dalam aksi kedua, minggu depan,” ujar Thanabalan.