Penyerang skuad B-23 negara, N. Thanabalan, mengharapkan tuah sekali lagi memihaknya biarpun menyedari cabaran kali ini lebih getir dengan bekas juara kejohanan, Iraq, menanti dalam aksi pembuka tirai Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, petang esok.

Thanabalan tampil menyerlah bersama skuad muda negara dalam dua kejohanan penting tahun lalu. Dia menjadi penyumbang utama dengan dua jaringan dalam kempen kelayakan di Bangkok, Julai lalu.

Lebih mencuri tumpuan sudah pasti kelibatnya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, apabila dia sekali lagi muncul penjaring terbanyak pasukan negara dengan empat gol.

Walaupun dianggap tidak berbahaya, tuah bagaimanapun seakan-akan sering memihaknya dan ia tampak akan terus ditagih pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.

"Tahap Kejohanan AFC berbeza dengan Sukan SEA, maka saingan dalam kejohanan ini bukan senang.

"Saya tidak boleh melakukannya secara individu, saya memerlukan kerjasama rakan sepasukan," kata pemain itu yang akan mewakili Negeri Sembilan pada musim ini.

Dia dijangka membentuk gandingan tiga serangkai bersama Safawi Rasid dan Jafri Firdaus Chew untuk misi merobek gawang Iraq yang merupakan juara edisi pertama kejohanan pada 2013.

"Setakat ini, saya dah biasa digandingkan dengan Safawi dan Jafri.

"Apapun, saya berharap kami dapat menghasilkan aksi terbaik," tambahnya.