Setelah bergelut dengan masalah kesihatan dan kecederaan, akhirnya penyerang skuad B-23 negara, N. Thanabalan, kembali menemui sentuhan jaringan bersama Negeri Sembilan musim ini.

Thanabalan mungkin boleh menjadi penyelamat Negeri Sembilan dalam kempen Liga Super musim ini apabila dia kini cergas sepenuhnya.

Walaupun masuk selaku pemain gantian ketika berdepan Selangor dalam kekalahan 1-2 kelmarin, dia hanya mengambil masa tiga minit untuk meledak jaringan sulungnya musim ini hasil tandukan menarik pada minit ke-64.

Buat Thanabalan, dia gembira dengan gol itu yang diharap mampu menjadi permulaan terbaik bagi membantu skuad Hoben Jang Hoben keluar dari zon penyingkiran.

"Saya bergelut dengan kecederaan sejak kembali daripada Kejohanan AFC B-23 di China yang lalu selain daripada dilanda demam.

"Kemudian saya ditimpa kecederaan lagi, sebab itu saya susah untuk merebut kesebelasan utama.

"Sebaik pulih, jurulatih menasihati saya supaya fokus dalam latihan untuk menaikkan semula saham saya supaya kelibat saya tidak dilupakan," katanya.

Selain itu, aksi Thanabalan menjadikan pengendali, Azraai Khor Abdullah, menarik sedikit nafas lega berikutan ketumpulan jentera serangan yang sekadar merekodkan lima gol dalam tujuh perlawanan.

Malah, dia bersedia meletakkan Thanabalan dalam kesebelasan utama, khususnya sempena menghadapi Kedah, esok.

"Dia seorang pemain berpengalaman kerana pernah bermain di tahap berbeza. Dia boleh melakukan sesuatu.

"Sebelum ini, dia dilanda demam dan kecederaan pangkal paha. Dengan jaringan ini, saya akan mempertimbangkan peranannya dalam kesebelasan utama," ujar Azraai.