Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC), memasang misi untuk menjadi antara tiga pasukan terbaik dalam Liga Super serta mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia musim baru ini.

Sasaran itu diletakkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang yakin barisan mantap mampu dibentuk jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Kelibat tonggak seperti Lee Tuck dan Kipre Tchetche selalain kehadiran Sanjar Shaakhmedov serta kemasukan pemain tempatan yang berkualiti dianggapnya antara taruhan TFC.

Dr. Ahmad Samsuri juga meletakkan sasaran lima terbaik dalam Liga Perdana serta mengekalkan kejuaraan Piala Cabaran kepada TFC II selain dua lagi skuad muda negeri itu.

"Trofi Piala Presiden perlu dikekalkan TFC III manakala TFC IV diharap dapat menyamai atau membaiki pencapaian naib juara Piala Belia," katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.

Selain itu, sejumlah RM25 juta diperuntukkan buat PBSNT dengan RM4 juta disumbangkan penaja utama, iaitu Terengganu Incorperated, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Ladang Rakyat.

Menurut Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim, perbelanjaan itu melibatkan lima pasukan utama yang bertanding dalam semua kejohanan tahun ini.

"Kedudukan kewangan PBSNT digunakan dengan hemah dan jumlah itu ialah purata perbelanjaan skuad Liga Super yang lain," jelasnya dalam Majlis Memperkenalkan Jersi TFC, malam tadi.