Berada di tangga tercorot Liga Perdana bukan kedudukan terbaik diingini kem Terengganu FC (TFC) II ketika ini dengan masih mencari kemenangan pertama dalam empat perlawanan.

Namun, jurulatihnya, Mustaffa Kamal Abd Wahab, meletakkan keyakinan kepada skuad bimbingannya untuk bangkit dalam aksi bertemu UKM FC di Selayang, malam esok.

Menurutnya, moral serta sikap yang ditunjukkan pemain-pemain TFC II masih berada di tahap terbaik selain menunjukkan keinginan untuk mengubah nasib pasukan dalam carta liga.

“Kami mahukan kemenangan ini untuk memulihkan dan mengembalikan semangat dalam pasukan.

“Malah, kesemua pemain tahu apa yang perlu dipersembahkan untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Sudah memiliki gambaran kesebelasan utama yang bakal dipertaruhkan, Mustaffa Kamal jelas berharap perlawanan malam esok menjadi permulaan kebangkitan TFC II.

Kedudukan UKM FC yang lebih baik juga tidak menggusarkannya sambil mengakui telah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan skuad kendalian Sulaiman Hussein itu.

“Pemain-pemain akan mengerah segala keringat untuk pulang dari Selayang dengan tiga mata,” tambahnya.