TFC II 0 UKM FC 0

Terengganu FC (TFC) II gagal memanfaatkan kelebihan tempat sendiri selepas sekadar seri 0-0 dengan UKM FC dalam perlawanan Liga Perdana, sebentar tadi.


Aksi babak pertama menyaksikan hanya tandukan Mateo Roskam pada minit ke-21 serta sepakan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman (m-36) menjadi percubaan berbahaya buat UKM FC.

Skuad pelawat meneruskan tekanan selepas rehat dan mendapat peluang pada minit ke-47, namun Roskam gagal menyudahkan hantaran Mohd Irwan Syazmin Wahab dari sebelah kiri.

Pintu gol TFC II diuji lagi lima minit kemudian menerusi tandukan Michael Ijezie sebelum penjaga golnya, Mohd Sharmiza Yusoff, menafikan rembatan kencang Mohd Irwan.

TFC II memperkemaskan rentak dan berusaha mencipta gerakan tetapi usaha Bruno Suzuki pada minit ke-58 tepat ke arah penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil.

Khatul Anuar kemudian cemerlang menepis percubaan leret Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-68, sekali gus memaksa kedua-dua pasukan menukar percaturan.

UKM FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila rembatan pemain gantian, Mohd Hafizi Amiruddin, dari kawasan 12 ela pada minit terakhir sekadar melambung tinggi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Keputusan lain:
Liga Super
JDT 2 MELAKA 1
PERAK 1 FELDA UNITED 1
PKNS FC 1 PKNP 0

Liga Perdana
SARAWAK 1 SABAH 2
PDRM FA 0 SELANGOR UNITED 1