TFC II 1 SELANGOR UNITED 0

Jaringan penalti Akanni Sunday Wasiu dalam babak kedua memisahkan Terengganu FC (TFC) II dengan pendatang baru Liga Perdana, Selangor United, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Aksi seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan dengan pasukan pelawat mula menguji kubu TFC II pada minit pertama menerusi sepakan percuma Nikita Pavlenko.

Peluang terbaik TFC II terhasil menyaksikan sepakan percuma Marcel N'Guessan (m-20) yang terkena palang sebelum tindakan susulan Serhii Andrieiev diselamatkan penjaga gol.

Berpunca daripada satu serangan balas seminit kemudian, pintu gol tuan rumah terselamat apabila voli Pavlenko tepat ke dakapan Mohd Sharmiza Yusof.

Aksi semakin rancak dengan giliran TFC II menyerang dan sepakan sudut Mohammad Ridzuan Razali pada minit ke-29 ditanduk Akanni Sunday, namun tinggi melepasi sasaran.

Selepas rehat, pintu gol Selangor United terus diuji, mujur penjaga golnya, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz, berjaya mengagalkan usaha Bruno Suzuki pada minit ke-46.

Hasrat TFC II memecahkan kebuntuan tidak kesampaian selepas sepakan leret Akanni Sunday pada minit ke-54 di dalam kawasan 12 ela tersasar ke sebelah tepi.

Kedudukan akhirnya berubah selepas bola terkena tangan kapten Selangor United, Rizal Fahmi Rosid, di dalam kotak penalti pada minit ke-66. Akanni Sunday tidak melakukan kesilapan dalam menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.

Pasukan pelawat berusaha menyamakan kedudukan dengan memasukkan penyerang veteran, Abdul Hadi Yahya, namun terpaksa akur pulang dengan tangan kosong.

Keputusan lain:

KELANTAN 3 SABAH 3

UITM 0 PERLIS 3