Carlos Tevez meletakkan sasaran untuk meraih tempat dalam skuad Argentina menjelang Piala Dunia 2018 di Russia selepas kembali menyertai pasukan yang diwakili pada awal kariernya, Boca Juniors.

Tevez dilepaskan oleh Shanghai Shenhua pada Sabtu lalu walaupun kontraknya bersama pasukan Liga Super China itu masih berbaki setahun.

Dia yang kini berusia 33 tahun tampak bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik di Asia walaupun muncul sebagai pemain dengan bayaran gaji paling tinggi di dunia, selepas hanya mencatat empat jaringan sebelum diketepikan susulan rungutan terhadap etika kerja pasukannya.

Kali terakhir mewakili pasukan kebangsaan pada tahun 2015, Tevez kini berazam menjadikan kepulangannya ke La Bombonera sebagai batu loncatan untuk kembali menyarung jersi Argentina.

"Saya tidak mempunyai masa yang banyak lagi dalam bola sepak dan pastinya ia sesuatu yang menggembirakan buat pemain pada usia saya jika dapat beraksi dalam Piala Dunia," kata Tevez ketika diperkenalkan kepada media, semalam.

Tevez memenangi Copa Libertadores di awal kemunculannya bersama Boca pada tahun 2003, namun hanya berjaya menjulang kejuaraan tersebut buat kali terakhir pada tahun 2007.

"Kami semua sedar akan tanggungjawab yang dipegang apabila beraksi dalam Copa Libertadores.

"Saya berada di sini untuk merebutnya, memberikan yang terbaik serta membantu pasukan meraih kejuaraan Copa Libertadores ketujuh buat Boca Juniors," tambahnya.