Pertahanan Manchester United, Eric Bailly, secara terbuka meminta maaf kepada semua penyokong susulan kegagalan pasukan itu melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.

United tewas di tangan Sevilla 2-1 di Old Trafford awal pagi semalam sambil Bailly merupakan salah seorang pemain yang diletakkan dalam kesebelasan utama.

Bekas benteng Villareal itu melakukan halangan hebat untuk menafikan peluang Joaquin Correa menjaringkan gol ketika kedudukan terikat 0-0 tetapi Wissam Ben Yedder yang masuk pada babak kedua menyumbat dua gol untuk melumpuhkan semangat skuad kendalian Jose Mourinho itu.

Mourinho menyifatkan anak-anak buahnya "tidak menampilkan aksi buruk" walaupun gagal melepasi pusingan kedua, namun Bailly memperlihatkan rasa bersalahnya di atas kegagalan itu melalui media sosial.

"Kami memohon maaf kepada penyokong United di atas kekalahan ini," kata Bailly melalui Twitter miliknya.

"Aksi pada malam kelmarin sangat teruk dan kami harus bangkit agar ia tidak lagi berlaku. Ia menyakitkan tetapi kami harus meneruskan perjuangan dan melupakan episod hitam itu."