Terengganu tidak mendabik dada sekalipun menyambung kempen Liga Super dengan bergaya selepas menjinakkan Perak 5-0 di Stadium Stadium Sultan Mizan, malam tadi.

Ketua jurulatih kelab Pantai Timur itu, Nafuzi Zain, tetap merendah diri dengan sentuhannya sambil menuntut anak buahnya agar terus mempamerkan semangat juang tinggi.

Skuad Peteh -- yang hajat untuk bersaing dalam Piala AFC musim ini tidak kesampaian seperti mahu mengubat duka itu -- menurunkan barisan terbaiknya termasuk taruhan baru, Habeeb Haroon, yang kelibatnya menerima pujian ramai.

"Yang penting tiga mata sahaja. Walaupun menang 1-0 sudah memadai.

"Kemenangan besar ini adalah rezeki lebih (buat kami)," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.





Terengganu akan bertandang ke kubu Melaka United dan mereka di landasan terbaik untuk terus memberi tekanan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menguasai tangga teratas.

Anak buahnya akan diuji Harimau Selatan dalam aksi kedua terakhir di laman sendiri, 22 Ogos depan.

"Kami tidak fokus kepada JDT. Yang saya tahu (saingan Liga Super) berbaki lapan perlawanan.

"Kami cuba ambil mata maksimum yang boleh.

"Kalau kami tekal, semestinya tempat kami di atas," katanya.