JDT 0 TERENGGANU 1

Terengganu FC menamatkan rekod tanpa kalah selama 21 bulan milik Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kali terakhir pasukan Harimau Selatan itu tewas adalah ketika ditundukkan Petaling Jaya City FC 0-1 dalam perlawanan Liga Super di tempat sendiri pada 16 Julai 2019.

Gol tunggal perlawanan daripada pemain muda, Hakimi Abdullah, dalam babak kedua sudah cukup untuk Terengganu memastikan pungutan tiga mata, sekali gus terus memberikan tekanan buat JDT di tangga teratas liga.

Kedua-dua pasukan saling berbalas asakan sepanjang babak pertama tetapi permainan pantas itu gagal disudahkan dengan jaringan, bahkan JDT kehilangan pertahanan tengah, Mauricio, gara-gara kecederaan ketika melakukan terjahan ke atas Faisal Halim.

Peluang terbaik Terengganu hadir dalam masa kecederaan sebelum waktu rehat apabila percuban David Da Silva, susulan hantaran gemilang Makan Konate, sekadar berakhir di tiang kiri gawang Farizal Marlias.

Rentak sama dipamerkan kedua-dua pasukan dalam babak kedua. JDT terlebih dahulu mengancam kubu Terengganu tetapi sepakan percuma ayam tambatan mereka, Bergson Da Silva, sekadar melambung tinggi pada minit ke-47.

10 minit kemudian, tekanan yang diberikan David Da Silva gagal dikeluarkan pemain gantian JDT, Syamer Kutty Abba, sebelum Hakimi, 21, memanfaatkan situasi kelam-kabut itu untuk mengatasi Adam Nor Azlin dan seterusnya menewaskan Farizal dari dalam kawasan penalti.

JDT memberikan respons dengan asakan bertali arus ke arah gawang Terengganu tetapi pasukan kendalian Benjamin Mora itu buntu untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin, yang tangkas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada Bergson dan Ramadhan Saifullah sehingga tamat perlawanan.

Keputusan terbaru itu menyaksikan Terengganu kini berada di tangga kedua Liga Super dengan 21 mata dan hanya dibezakan dua mata dengan pendahulu, JDT.

?️? KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN ?️? FT Johor Darul Ta'zim FC 0-1 Terengganu FC ⚽️ Hakimi 56’ #TerengganuFC #WeBleedBlackAndWhite #WINBACKMISSION

Posted by Terengganu Football Club on Saturday, 24 April 2021


Keputusan lain
Liga Super:
Penang FC 3-0 Sri Pahang FC
UiTM FC 0-1 Petaling Jaya City FC

Liga Perdana:
Kelantan United 1-0 Kuching City FC
Negeri Sembilan FC 1-1 Sarawak United
Terengganu II 2-2 Selangor II

*Kredit foto: Johor Southern Tigers