Pemangku jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, menganggap dua keputusan awal permainan oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria, menjadi punca barisan kendaliannya gagal menterjemahkan percaturan dengan sempurna dalam pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

"Saya rasa setiap kali datang ke sini, skripnya lebih kurang sama sahaja.

"Kadang-kadang saya tidak faham, mungkin keputusan yang sepatutnya bagi (memihak) kepada kami, tidak diberikan tetapi yang tidak sepatutnya, diberikan.

"Mungkin pengadil keliru dengan situasi itu," katanya selepas perlawanan.

Justeru, keindahan permainan sebenar bola sepak gagal dijelmakan ekoran keputusan tidak sepatutnya daripada pengadil perlawanan.

Dia juga tidak berselindung betapa emosi anak buahnya terganggu dengan pendekatan yang digunakan pengadil itu.

Dua jaringan awal JDT merentap hasrat besar Sang Penyu yang bertekad mencipta kejutan di Larkin.

Hal yang sama diluahkan pertahanan Terengganu, Nasrullah Haniff Johan, yang turut dilayangkan kad kuning.

Ternyata dia juga seiring dengan pendapat Nafuzi yang menganggap aksi itu tercalar dengan keputusan pengadil perlawanan.

"Biasalah ada sedikit sentuhan dalam kotak penalti sebelum sepakan penjuru itu diambil.

"Tetapi bola tidak sampai lagi di kedudukan itu, yang mengatakan saya menarik jatuh (La'Vere Corbin-Ong), ia tidak betul.

"(Insiden awal itu) membunuh semangat kami dan kami tidak boleh buat apa dalam separuh masa kedua kerana awal-awal lagi mental pemain (Terengganu) sudah terjejas," kata pemain pertahanan itu.

Sementara itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora, menganggap kemenangan itu adalah misi melunaskan dendam yang berjaya.

Tertekan dengan keadaan padang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, dalam aksi suku akhir pertama minggu lalu, dia bangga anak buahnya cemerlang membuktikan kemampuan di laman sendiri.

"Kami menang 1-0 di Terengganu tetapi perlawanan kali ini amat terbuka.

"Kami sedar kalau kami gagal menjelmakan permainan serupa di Terengganu, perlawanan akan menjadi sangat sukar (buat kami).

"Saya berpesan kepada anak buah supaya segera mencari jaringan," kata jurulatih kelahiran Mexico itu.

Penjaring dua gol buat juara 2017 itu, Safawi Rasid, bangga mampu membantu pasukannya lolos ke separuh akhir.

"Perlawanan ini bukan mudah sebab semua orang tahu Terengganu lawan yang sukar.

"Apabila dapat menjaringkan dua gol bukanlah bermaksud berpuas hati tetapi saya tahu ia sudah memadai untuk meraih kemenangan secara agregat.

"Selepas ini, saya perlu memantapkan lagi corak permainan sepasukan," kata pemain kebangsaan itu.