Apabila Terengganu memulakan musim baru Liga Super dengan dua kekalahan berturut-turut sudah tentu ia akan mewujudkan rasa gusar di benak pemikiran peminat-peminatnya, apakah pasukan kesayang mereka ini mampu bangkit setelah melalui permulaan awal musim yang sukar ketika membuat persiapan terakhir untuk mengharungi Liga Super musim ini?.

Setelah ramai dikalangan pemain-pemain Sang Penyu itu dijangkiti Covid-19. Namun persoalan itu bukan lagi menjadi igauan kepada peminat-peminat Sang Penyu lagi setelah ia telah mula memancarkan cahaya ketika ini.

Ia merujuk pada dua kemenangan berturut-turut anak didik Nafuzi Zain ketika berhadapan Sarawak United dan terkini Selangor FC. Itu telah membuktikan bahawa Sang Penyu mula bangkit dan mampu mecabar untuk mencari kedudukan terbaik untuk bersaingan merebut slot ke pertandingan di peringkat Asia terutama Piala AFC musim hadapan. Keyakinan diri setiap pemain-pemainnya mula terserlah apabila mereka berjaya mempersembahkan satu aksi konsisten sepanjang dua perlawanan itu.

Paling ketara apabila pertemuan dengan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan tempoh hari apabila anak didik Nafuzi Zain berjaya bermain secara berpasukan dengan mantap dan disiplin yang begitu tinggi. Lihat sahaja bagaimana jaringan dilakukan Faisal Halim yang membuat gerakkan secara individu dan melepaskan satu rembatan yang padu. Itu menunjukkan bagaimana keyakinan diri yang tinggi serta di bantu pula dengan semangat berpasukan yang mantap oleh pemain-pemain Sang Penyu.

Jika kualiti dan keharmonian di dalam pasukan serta kerja secara berpasukan yang jitu itu dapat diteruskan tidak mustahil untuk Sang Penyu terus bangkit bagi mencapai misi dan visi kelab mereka selain perlu mengikut perancangan dan strategi yang telah di atur jurulatih mereka pada setiap perlawanan. Inilah kekuatan yang ada pada Terengganu ketika ini setelah mereka berhempas pulas untuk bangkit kembali setelah mengharungi satu detik yang sukar akibat Covid-19.