Pertahanan Terengganu, Lazaro Alves Martins, tidak sabar untuk merasai kehangatan pertembungan pasukan 'adik-beradik' menentang T-Team dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Nyata, Lazaro belum lagi melihat kehangatan sorakan sebenar membabitkan pertembungan kedua-dua pasukan itu.

Sehubungan itu, dia meramalkan ia satu perlawanan yang menarik ketika Terengganu memiliki hasrat besar untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan itu.

Katanya, apa sahaja boleh berlaku walaupun hakikat di atas kertas, T-Team berkelebihan berdasarkan kualiti barisan pemain dan kredibiliti pasukan.

"Ia adalah pertemuan setempat di antara Terengganu dengan T-Team. Bagi saya, ia bagaikan pertemuan 'El-Clasico'. Kami menghormati mereka. Mereka mempunyai pasukan mantap dan beraksi dalam Liga Super.

"Kami juga adalah pasukan yang bagus, sudah tentu ia akan menjadi perlawanan menarik dan sengit untuk disaksikan," katanya.

Maka, individu penting di bahagian pertahanan, Lazaro, menyifatkan keserasiannya dengan pemain lain semakin baik.

Sementara itu, ketiadaan penjaga gol, Sharbinee Allawee, dalam saingan musim ini turut dirasai Lazaro, bagaimanapun, dia yakin penggantinya seperti Mohd Suffian Abdul Rahman dan Muhammad Syazwan Yusoff tidak akan mengecewakan.

"Bagi saya, apabila anda menyarung jersi Terengganu, semua pemain perlu sentiasa bersedia sejak dalam latihan lagi.

"Contoh seperti Sharbinee ketika ini, dia adalah penjaga gol yang baik dan sudah lama bersama Terengganu. Tetapi dia tiada bersama pasukan dan pemain lain akan memikul tanggungjawab di depan gol. Mereka kini beraksi dengan baik."