Kegagalan Kedah Darul Aman untuk mencatat kemenangan bertemu UiTM, kelmarin, membuka peluang buat Terengganu untuk merebut slot Piala AFC musim depan.

Ia menyaksikan Terengganu dan Kedah mengumpul jumlah perbezaan gol yang sama sekali gus aksi terakhir pada Ahad ini menjadi penentu buat kedua-dua pasukan termasuk Penang.

Skuad kendalian Pantai Timur itu berpeluang untuk menyambar tiket ke pentas Asia andai berjaya mengalahkan Penang sambil mengharapkan Kedah tewas di tangan Melaka United.

Kunjungan skuad Peteh kendalian Nafuzi Zain itu ke Pulau Pinang juga adalah untuk melunaskan dendam kekalahan 1-4 kepada Harimau Kumbang dalam pertemuan pertama di laman sendiri, Mei lalu.

"Tidak mustahil apa sahaja boleh terjadi, yang penting kami kena menang untuk selamat dalam kelompok tiga terbaik.

"Tapi kami boleh (tergelincir) ke tangga kelima jika Selangor boleh menang (sementara kami tewas)," katanya.





Nafuzi juga mengesahkan barisan terbaik akan dipertaruhkan termasuk penyerang, David Da Silva, yang sebelum ini terpaksa diketepikan atas faktor taktikal biarpun ramai yang hairan apabila peledak Terengganu II, Jordan Mintah, lebih menyerlah dengan mencetak empat gol dalam divisyen utama selain 15 gol dalam kempen Liga Perdana musim ini.

"David Da Silva akan dipertaruhkan dan Jordan Mintah pula belum bersedia untuk bermain. Saya ada berjumpa dengannya dan dia tahu untuk bertemu Penang, satu perlawanan berdepan pertahanan Liga Super. Tapi kami akan turunkan barisan terkuat," katanya.

Rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan ini sejak 11 tahun yang lalu menyaksikan Penang dan Terengganu hanya pernah bertemu sebanyak lima kali dalam Liga Super dan menjadi sejarah milik kelab Pantai Timur itu yang berjaya mencatat tiga kemenangan di samping menghasilkan lebih banyak jaringan.

Bekas tonggak Sang Penyu, Hairuddin Omar, pula tetap yakin buat pasukan kejutan di sebalik hatrik kekalahan baru-baru ini namun perlu mengingatkan mereka supaya berwaspada dengan kelibat ketua pasukan Penang, Endrick Dos Santos, dan Casagrande.

"Terengganu jarang tewas dengan jaringan besar," katanya tatkala Nafuzi menerima tekanan hebat atas kemerosotan pasukan kebelakangan ini.