Berdasarkan kemelut terkini di antara pengurusan kelab bola sepak Terengganu dan pengendalinya yang berasal dari Kelantan itu, Nafuzi Zain, nampaknya bagaikan tiada noktahnya.

Ia boleh diperhatikan melalui ulasan-ulasan yang diberikan kepada media masa oleh kedua-dua belah pihak dan ia melihatkan kemelut ini akan terus berpanjangan.

Kemungkinan juga hubungan di antara kedua-dua belah pihak itu bagaikan sudah berakhir. Sudah pasti ini tidak akan menyenangkan para peminat Sang Penyu.

Peminat-peminat Sang Penyu mengharapkan ada tawaran yang lebih baik daripada pengurusan Terengganu memandangkan jurulatih itu telah berjaya membawa Sang Penyu ke Piala AFC 2023 dan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.




Tetapi yang lebih menariknya, Nafuzi telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap dan digeruni lawan walaupun pada awal musim ini skuad kendaliannya agak tidak stabil disebabkan ramai pemainnya dijangkiti COVID-19. Namun, itu bukan penghalang untuk Nafuzi mempersiapkan sebuah pasukan yang kuat.

Ia telah dibuktikan menerusi pencapaian baik Terengganu dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, termasuk muncul finalis Piala FA.

Dan lebih penting Nafuzi telah berjaya mewujudkan indentiti bola sepak Terengganu serta melahirkan ramai pemain-pemain muda berbakat.




Jika kemelut ini tidak dapat diatasi dengan segera mungkin ia satu kerugian bagi Terengganu tetapi kita mengharapkan satu perbincangan yang lebih professional dapat dilakukan.

Walaupun umum sudah boleh mengetahui kemungkinan hubungan di antara Nafuzi dan Terengganu akan terlerai, namun penyelesaian secara baik dapat dilakukan.

Jika titik noktah itu dapat ditemukan di atas meja perbincangan, ia lebih baik dan akan menampakkan kedua-dua pihak lebih profesional.

Pada pandangan penulis, kedua-dua belah pihak perlu membuang sikap ego dan perlu lebih matang dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi terutama pengurusan tertinggi Sang Penyu.



Mereka perlu menjadi contoh dan tauladan kepada kakitangan mereka sendiri serta pemain apabila berada dalam era professional ini.

Sama-sama kita harapkan kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua belah pihak demi kemajuan bola sepak negara.