Terengganu FC berada dalam keadaan terbaik menjelang Kejohanan Piala AFC hujung bulan depan selepas bangkit menewaskan Selangor FC 2-1 di Petaling Jaya semalam.

Selepas 13 perlawanan musim ini, Terengganu berada di tangga kedua liga untuk tenang melalui waktu rehat antarabangsa sehingga 9 Julai depan.

Dengan hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu dijadualkan untuk memulakan kempen Kumpulan I Piala AFC pada 30 Jun ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, enggan terlalu ghairah mencanang kemampuan pasukannya untuk menterjemahkan aksi yang dipamerkan di peringkat domestik ke dalam kejohanan peringkat benua berkenaan.

"Sejujurnya, saya masih belum menganalisis lawan kami di peringkat Piala AFC dan mungkin saya akan menggunakan waktu rehat ini untuk mengkaji pasukan dalam saingan itu.

"Kerana saya sendiri tidak mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa, jadi kami perlu melupakan seketika liga (domestik)," katanya.

Nafuzi, dalam pada itu, turut menawarkan perkembangan terkini berhubung desas-desus kepulangan bekas pemain import, Sanjar Shaakhmedov, bagi melengkapkan kuota lima import

"Hubungan saya dengan Sanjar memang baik walaupun dia telah kembali ke Uzbekistan. Dia masih mengikuti perkembangan pasukan ini.

"Ada kemungkinan ia akan berlaku tetapi sebagai jurulatih, memang saya mahu menggunakan lima pemain import kerana sejak perlawanan pertama, kami hanya mempunyai empat pemain import.

"Walaupun dengan hanya empat pemain import, pemain telah menunjukkan aksi yang baik dan saya rasa jika kami mempunyai lima pemain import, ia akan menjadi lebih baik," katanya lagi.