Penyertaan juara Piala FAM, Terengganu City FC, dalam Liga Perdana musim depan tampak samar jika gagal menyelesaikan kemelut kewangan yang boleh menjejaskan syarat pelesenan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed, mendedahkan Terengganu City perlu segera mendapatkan sumber kewangan kukuh jika mahu beraksi dalam Liga Perdana.

Jika gagal melunaskan segala tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai yang berjumlah RM283,000, beliau melihat amat sukar untuk Terengganu City mendapat lampu hijau daripada MFL.

Jika situasi itu terjadi, dua semifinalis Piala FAM, PJ Rangers dan MOF FC, akan beraksi dalam penentuan play-off seandainya kedua-dua pasukan berminat dengan slot ke Liga Perdana.

"Jawatankuasa Status FAM telah meminta Terengganu City supaya membayar (hutang) hampir RM300,000 untuk kes 2017 manakala kes 2018 belum diterima lagi.

"Perkara ini akan dibincangkan dalam masyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM untuk membincangkan kaedah menggantikan slot Terengganu City," katanya.

Selain itu, Firdaus mengharapkan MFL bukan sahaja meneliti kedudukan kewangan Terengganu City, malah melibatkan semua pasukan lain yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Ini kerana dia tidak mahu insiden seperti Kuantan FA pada musim ini berulang.

"Berkenaan pasukan-pasukan yang ingin bermain dalam Liga FAM dan Liga Perdana, MFL perlu lebih terperinci untuk memastikan dana mereka untuk meneruskan cabaran liga.

"Ketika ini, tiada laporan terperinci mengenai sesebuah pasukan, termasuk yang mempunyai nama besar," katanya.