Meskipun menyedari berdepan tugas berat, Terengganu City FC (TCFC) tetap memasang hajat mencipta kejutan menentang Kelantan dalam pusingan kedua Piala FA di Kota Bharu, esok.

Menurut pengendalinya, Mohd Noor Derus, pertembungan di antara dua darjat itu tidak akan sesekali menggugat semangat mereka, sebaliknya akan mengerah segala keringat sepanjang 90 minit.

Bekas pemain skuad kebangsaaan itu juga berkata skuad bimbingannya akan turun dengan strategi terbaik untuk bersaing dengan The Red Warriors (TRW).
.
“Saya harus realistik dengan barisan pemain yang ada manakala Kelantan adalah pasukan yang berkualiti dalam Liga Super.

“Begitupun, dalam bola sepak, apa-apa pun boleh terjadi dan kami akan memberikan yang terbaik untuk mengalahkan mereka di Kota Bharu,” ujar Mohd Noor.

TCFC, yang beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini, mara ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan Jerantut FA 2-1 di Kuala Terengganu, bulan lalu.