SELANGOR 1 TERENGGANU 2

Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Selangor FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebentar tadi.

Gol daripada pemain gantian, Engku Nur Shakir Engku Yacob, dan ketua pasukan, Carli de Murga, dalam separuh masa kedua memadamkan jaringan lebih awal Ifedayo Olusegun, yang turut gagal menjaringkan sepakan penalti dalam babak pertama.

Kedua-dua pasukan beraksi rancak sepanjang babak pertama tetapi tiada sebarang penyudah dapat disaksikan dengan Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Brendan Gan dijatuhkan Nasir Basharuddin pada minit ke-35.

Bagaimanapun, kesempatan itu gagal disudahkan Ifedayo apabila sepakannya mudah dibaca penjaga gol, Suhaimi Husin, untuk kedua-dua pasukan terikat menuju ke bilik persalinan.

Selangor bermula baik dalam babak kedua dan hanya memerlukan lima minit untuk berada di depan apabila Ifedayo menebus kegagalan pertamanya untuk menjaringkan sepakan penalti susulan bola percubaan Brendan terkena lengan Nasir.

Namun, kelebihan satu gol itu gagal dipertahankan pasukan Gergasi Merah berkenaan pada minit ke-72 apabila pemain muda, Engku Nor Shakir, 22, yang baru dua minit dibawa masuk menggantikan Hakimi Abdullah, menemui bola muntah susulan percubaan jarak jauh Arif Fadzilah Abu Bakar untuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid, dari jarak dekat.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu kemudian berhasil memperoleh gol kemenangan pada tiga minit terakhir waktu sebenar dengan sepakan percuma Arif ditanduk kemas Carli biarpun bola sempat singgah di palang gol Selangor.

Dengan kemenangan itu, Terengganu kembali ke tangga kedua liga dengan 27 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Selangor gagal memintas Penang FC untuk kekal berada di tangga kelima dengan 19 mata.


? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS13 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Sunday, 9 May 2021



Keputusan lain:
Perak FC 2 Sri Pahang FC 3
Melaka United 0 Petaling Jaya City FC 0