Serena Williams berkata dia akan menuju ke London dalam masa terdekat untuk memulakan persediaannya bagi Kejohanan Tenis Wimbledon selepas disikirkan oleh Elena Rybakina dalam Terbuka Perancis awal pagi tadi.

Rybakina, yang mewakili Kazakhstan, tidak pernah melepasi pusingan kedua di Roland Garros tetapi mempamerkan aksi kukuh untuk mengatasi juara 23 kali kejohanan grand slam, Williams, dengan kemenangan 6-3, 7-5 dalam masa sejam 19 minit untuk mengesahkan tempat dalam suku akhir.

Pemain kelahiran Russia itu mempamerkan aksi cemerlangnya untuk memenangi perlawanan itu dengan memanfaatkan tujuh mata break dan memenangi hampir 60 peratus daripada keseluruhan matanya ketika mematahkan servis kedua Williams.

Tidak kecewa dengan penyingkiran awalnya, Williams berkata dia gembira apabila dapat meraih tiga kemenangan berturut-turut di gelanggang tanah liat sebelum disingkirkan awal pagi tadi.

"Saya memiliki beberapa perlawanan yang baik di sini," kata Williams dalam sidang media. "Saya tidak dapat musim terbaik di gelanggang tanah liat tetapi ia bagus untuk akhirnya mendapatkan beberapa kemenangan di atas tanah liat. Saya berada di kedudukan lebih baik berbanding sewaktu saya di sini sebelum ini.

"Ia sememangnya sengit. Ada beberapa mata yang saya sia-siakan di sana dan sini yang mungkin dapat mengubah keseluruhan perlawanan ini. Saya tidak dapat memenangi mata-mata itu, yang berkemungkinan dapat mengubah segala-galanya," katanya.

Menjelang Kejohanan Wimbledon -- di mana dia pernah muncul juara acara perseorangan sebanyak tujuh kali -- pada 28 Jun ini, Williams berkata: "Saya mungkin akan pulang ke rumah dan bersedia untuk ke London. Tetapi saya tidak tahu. Saya perlu ke sana lebih awal untuk dikuarantin, jadi benar, saya akan ke sana tidak lama lagi."