Naomi Osaka mengatasi Patricia Maria Tig dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis malam tadi tetapi pemain nombor dua dunia itu mengakui masih banyak ruang untuk diperbaikinya dalam permainan di atas gelanggang tanah liat.

Osaka mencetuskan perhatian sebelum kejohanan itu bermula apabila pemain berusia 23 tahun itu enggan terlibat dengan sidang media wajib kerana berasakan ia tidak memberikan sebarang manfaat buat kesihatan mental atlet.

Pemain pilihan kedua itu kekal dengan keputusannya selepas meraih kemenangan straight set ke atas Tig dan akan menerima padah dengan didenda US$15,000 (RM62,092) dan diberikan amaran keras bahawa penyertaannya mungkin akan dibatalkan.

Bagaimanapun, Osaka memberikan kerjasama dalam temubual di atas gelanggang selepas mencatatkan kemenangan 6-4, 7-6 di Gelanggang Philippe-Chatrier -- hanya kemenangan keduanya di gelanggang tanah liat musim ini.

"Saya boleh katakan ia masih belum sempurna, "kata pemenang empat gelaran grand slam itu mengenai permainannya di atas gelanggang tanah liat.

"Harap-harap semakin banyak saya bermain, ia akan menjadi semakin baik.

"Saya gembira kerana saya menang, ia gelanggang yang amat indah. Saya hanya pernah bermain dua kali di sini -- sekali sebelum berbumbung dan sekali lagi adalah ketika ini. Harap-harap saya dapat meneruskannya," katanya.

Seterusnya, juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Australia itu akan berdepan Ana Bogdan, yang menewaskan Elisabetta Cocciaretto 6-1, 6-3, dalam pusingan kedua.